Perarakan Keranda 152 Ke-3 pada 26 Mac 2016 Keranda_152

Ekoran daripada janji kerajaan untuk terus mansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat mulai tahun 2012, ia telah melegakan seluruh pihak. Pihak kerajaan juga menerusi Menteri Pendidikan I, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan satu dasar baru yang dikenali sebagai "Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris" (MBMMBI). Namun, menerusi satu laporan yang dibuat oleh Performance and Delivery Unit (PEMANDU) dalam mencari mekanisme untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, PEMANDU telah mengetengahkan cadangan untuk melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) untuk mewajibkan 300 sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains, Matematik, Reka Bentuk, Teknologi Maklumat dan komunikasi. Cadangan ini dibuat secara senyap bagi mengelakkan kemarahan rakyat yang masih belum reda dengan dasar PPSMI lalu. Namun, ia telah disedari kumpulan pejuang bahasa daripada pelbagai latar. Angkatan Belia Islam malaysia (ABIM) ialah pertubuhan pertama mengeluarkan kenyataan pada 15 Oktober 2015 menerusi Setiausaha Agung Faisal Aziz yang telah mengecam usaha pihak tertentu yang mahu mengembalikan PPSMI melalui pintu belakang. Kumpulan pejuang bahasa kemudiannya menuntut kerajaan menepati janji yang dibuat untuk memansuhkan dasar PPSMI atau sebarang dasar yang mirip dengannya. Namun, situasi bertambah buruk setelah Menteri Pendidikan I, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seorang tokoh pemimpin yang dilihat tegas mempertahan kedaulatan Bahasa Melayu dipecat dari Kabinet dan digantikan dengan Dato' Seri Mahdzir Khalid. Akibat daripada pemecatan itu, program DLP telah menjadi dasar yang diterima pakai walau tanpa melalui konsultasi secara menyeluruh dengan semua pihak.

Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang dipimpin Prof Emeritus Shahrir Md Zain telah mengadakan satu Sidang Media pada 5 Januari 2016 bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan yang diwakili Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Dalam sidang media yang dianjurkan di Sekretariat ABIM, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) berkata memilih jalan terakhir untuk mengadakan perhimpunan bantahan secara aman di seluruh negara pada 26 Mac 2016. Tindakan ini kerana kecewa dan terkilan dengan sikap kerajaan yang tidak melayan segala usaha berbentuk rundingan bagi memansuhkan Program Dwi-Bahasa (DLP). GMP menyatakan, berdasarkan fakta kajian dan statistik telah jelas menunjukkan kegagalan dasar PPSMI yang mengorbankan 3 juta pelajar yang menelan belanja RM5.2 bilion. Pihak GMP bertegas bahawa mekanisme pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah yang harus ditingkatkan sekiranya mahu memastikan pelajar sekolah fasih berbahasa Inggeris bukan dengan cara mirip PPSMI atau DLP.

Pejuang Bahasa seterusnya bersama delegasi bijak pandai Melayu, mahaguru bahasa, sasterawan, budayawan, aktivis NGO dan pakar sains telah mengadap Baginda Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membincangkan masa depan anak bangsa dan bahasa kebangsaan. Baginda Sultan Perak secara dasar bersetuju dengan kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa sesuatu ilmu lebih berkesan dan mudah dikuasai sekiranya diajar dalam bahasa ibunda.

Kemuncak bantahan adalah pada 26 Mac 2016 apabila pejuang bahasa yang terdiri daripada GMP, ABIM, PKPIM, MBPK, Gapena dan lain-lain berarak mengusung Keranda 152 yang ketiga di ibu kota. Keranda 152 yang ketiga diusung sebagai menifestasi kegagalan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjadi payung untuk mempertahan kedaulatan bahasa kebangsaan. Walaupun perhimpunan itu telah diisytiharkan oleh polis sebagai haram dan bercanggah dengan undang-undang, kumpulan pejuang bahasa tetap tekad untuk mengusung Keranda 152 sebagai simbol perjuangan bahasa Melayu tidak pernah malap malah akan terus diperjuangkan oleh generasi akan datang. Ekoran Perarakan Keranda 152 tersebut, empat individu penggerak utama telah dipanggil polis atas kesalahan kononnya cuba mencetuskan huru hara. Empat individu tersebut ialah Faisal Aziz (Setiausaha Agung ABIM), Prof Emeritus Shahrir Md Zain (GMP), Prof Dato' Zainal Abidin Borhan (MBPK), dan Rozan Azen Rasip (Paksi).

Berkaitan